SUDAH TIBA MASANYA KITA CARI WAKIL RAKYAT BARU

CARI PEMIMPIN PENCINTA BUKAN PENGAMPU

By: Norman

1. Di antara PAS, DAP dan PKR, PKR dilihat agak pincang dalam pencarian calon yang sesuai sebagai wakil rakyat. Persoalannya adakah benar di dalam parti Keadilan tiada calon yang sesuai untuk dijadikan wakil rakyat. Saya tidak mahu menyalahkan sangat parti PKR dalam soal mencari calon pada pilihanraya yang lalu kerana tiada siapa menduga PR akan memperolehi kemenangan yang begitu besar terutamanya di negeri Perak.

2. Dalam artikel yang lepas saya ada menulis mengenai ciri-ciri wakil rakyat yang sesuai diletakkan di dalam parti. Saya katakan kita mesti mencari calon yang taat atas dasar cinta kepada parti. Apa maksud cinta? Ia seperti apabila kita mengenali pasangan kita, bila melihat wajahnya sudah terasa minat dan bila mengenalinya kita akan jatuh cinta dan berjanji sumpah setia hidup semati dengannya.

3. Kita dilahirkan kesemuanya mempunyai benih yang hebat seperti Winston Churchill, Mahatma Ghandi, Oprah dan lain-lain nama lagi di dalam dunia moden ini. Bagaimanapun mereka-mereka ini takut untuk menampilkan diri atau ditutup kebolehannya oleh puak-puak pengampu.

4. Akhirnya pengampu-pengampu yang saya gelarkan sebagai pengiring-pengiring inilah yang dicalonkan oleh PR suatu ketika dahulu. Ada yang layak dengan mempunyai ijazah kedoktoran atau guaman tetapi sayangnya dia tidak mempunyai perasaan cinta dan akhirnya dia memberontak di dalam partinya sendiri.

5. Mengapa kita percaya kepada Ibrahim Ali yang sudah beberapa kali bercerai dengan partinya? Akhirnya kita terpaksa menanggung bala ancaman daripada Ibrahim. Dia menggunakan platfom PAS untuk kembali ke dalam parlimen. Sedangkan kita sudah tahu dia mempunyai rekod yang buruk dalam soal ketaatan kepada parti dan sehingga kini UMNO sendiri tidak mahu menerimanya kembali walaupun secara terangan dia banyak menyokong pendirian UMNO sejak akhir-akhir ini.

6. Sayang mereka yang bagus tidak mahu tampil kerana takut dikritik dan takut ditekan oleh pihak pemerintah. Akhirnya parti sukar mencari calon, walaupun ada ahli parti mengetahui temannya mempunyai potensi tetapi kerana 'pengiring pengampu' ini bimbang kedudukannya tercabar, parti yang rugi.

7. Kata Harry S. Truman, "Saya mempercayai seorang pemimpin yang hebat adalah seorang yang berkemampuan menyuruh orang lain melakukan apa yang tidak ingin mereka lakukan dan tidak disukainya."

8. Mengapa saya katakan Datuk Seri Nizar adalah pemimpin yang hebat. Antaranya kerana dia membuktikan dia telah berjaya sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya sebelum serius di dalam politik. Pemimpin seperti seorang peniaga, dia mesti mempunyai visi dan mesti tahu meningkat jualan produknya.

9. Saya katakan tadi kita jangan terlalu menyalahkan pemimpin parti kita dalam mencari calon-calon mereka kerana kita masih baru. Selama ini kita sering ditewaskan dan disebabkan itu kita tidak pasti adakah mereka (calon) mampu membantu parti dengan berkesan dan memahami agenda sekaligus mencintai parti.

10. Seperti juga mereka yang berjaya dalam perniagaan seperti Walt Disney, Mc Donald dan Ray Kroc pernah jatuh sebanyak tujuh kali dalam perniagaan sebelum berjaya. Tidak ada salah dengan kegagalan apabila kita segera kembali bangkit.

11. Antara pemimpin yang kita cari ialah mereka yang mempunyai visi, hasrat, mengambil risiko, ketrampilan yang baik, mampu berkomunikasi dengan baik, sentiasa ingin lakukan perubahan untuk rakyat dan bukan untuk diri sendiri, bergaul dengan orang yang tepat, berpengetahuan, mempunyai daya tahan yang tinggi, berstamina, boleh ditegur oleh ahlinya, mencintai dan patuh kepada ketuanya jika dia seorang ketua.

12. Jika tidak ada semua ciri-ciri yang saya katakan cukuplah jika ada 80%. Yang penting dia tahu etika duduk di dalam satu kumpulan (parti). Yang penting calon kita mempunyai pemikiran yang positif dan bukan sentiasa negatif apatah lagi di dalam partinya sendiri. Jika dia rasa lebih banyak tidak ada persamaan pemikirannya dengan ketua parti dan dasar parti, adalah lebih baik calon ini keluar parti dan memilih berpuluh parti lain seperti MCA, PPP, PBS, MIC dan sebagainya.

13. Calon kita mesti mempunyai pemikiran daripada negatif dipositifkan seperti 'Life is a bitch kepada life is a beach'. Sepatutnya calon kita yang sentiasa menentang dan diragui kesetiannya mesti berubah. Dia mesti menerima teguran ketuanya dengan hati nyang terbuka. Dari situ barulah kita mengetahui betapa setia dan cintanya dia kepada parti yang disertai.

14. Dia boleh mengkritik tetapi dengan saluran yang betul dan dengan niat untuk kebaikan parti dan bukan untuk mencari publisiti atau menunjukkan dia mempunyai pemikiran yang lebih hebat dari orang lain. "Bantulah orang lain mendapatkan apa yang mereka inginkan dan anda juga akan mendapat apa yang anda inginkan"- Mary K Ash.

15. Calon sebagai pemimpin mesti sedar adakah dirinya dikawal oleh emosi? Adakah segala keputusannya adalah rasional, tanpa terlalu banyak perasaan? Apakah dia mengikuti apa yang dikatakan oleh orang lain?

16. Seperti kata Martin Luther King "Apabila seseorang menjadi penyapu jalan, maka dia mesti menyapu jalan dengan baik, sebaik Michelangelo melukis atau sehebat Beethoven mencipta muzik atau sebagus Shakespeare menulis puisi. Dia mesti menyapu dengan baik sehingga seluruh makhluk di langit dan bumi akan berhenti sejenak, di sini telah hidup seorang penyapu agung yang melakukan kerjanya dengan baik."

17. Jadi kepada PKR mahpun PAS, ingatlah cari pemimpin bukan kerana mendekati kita kerana sesuatu dan mengampu sehingga kita terlupa. Cukuplah ramai pemimpin tertipu dengan pengiring mereka dan akhirnya ramai yang akan meluat dan menjauhi pemimpin tersebut.

18. Sekarang ini! Khasnya di Perak, YB Nizar sudah mengetahui siapakah yang patut dicalonkan dan siapakah pengiringnya yang mampu menjadi penasihat yang baik untuk dirinya dan parti. Begitu juga dengan PKR, carilah calon-calon mulai dari sekarang agar kita tidak kelam kabut di saat-saat akhir nanti.

19. Kumpulkan segala maklumat pemasalahan rakyat dan kelemahan parti sendiri sebelum kita mencari kelemahan parti musuh. Saya doakan Perak kembali ke tangan PR sebagai membuktikan rakyat Perak sudah lama celik mata dalam politik tanahair.

20. Calon-calon yang sedia ada, jika dirasakan curiga kecintaannya kepada parti, singkirkan sahaja dan tidak perlu menjaga hati mereka kerana agenda perjuangan politik yang kita perjuangkan bukan atas nama individu tetapi dasar perjuangannya.

No comments:

My POST