BILA KITA TERLALU GHAIRAH..TERIMA LAH RM 100 JUTA

By: Norman

1. Di bawah saya ambil petikan dari kenyataan Datuk Seri Zambry. Jika benar apa yang dikatakan oleh Zambry, saya sebagai bekas wartawan tersangat malu dan ini bukan kali pertama berlaku. Itu yang saya selalu pesan kepada rakan-rakan, jangan ghairah!

2. Manusia selalu ghairah untuk menghebahkan maklumat yang masih belum pasti kebenarannya kerana ingin menjadi 'hero', kononnya dialah orang penting dalam parti atau sebagainya. Acapkali perkara ini telah berlaku.

3. Sewaktu saya di Perak dan isu masih panas, ada juga orang PAS yang memaklumkan kepada saya kononnya Raja Nazrin tidak bersetuju dengan Sultan Perak la, Najib nak adakan pilihan raya la dan sebagainya. Saya dengar sahaja kerana cakap-cakap begini sudah terbiasa saya dengar.

4. Dulu Zulkifli Noordin sewaktu kes Anwar di kalangan rakan-rakan saya selalu memberitahu, suka menyampaikan berita yang belum pasti.

5. Suatu ketika dahulu dibangkitkan soal bai'ah dan Khalid Samad terpaksa menjawab tuduhan itu. Terbaru Khalid Samad dipersoalkan lagi, sukar sangatlah Zulkifli dan Khalid untuk berhubung menerusi telefon jika berlaku sesuatu perkara yang mereka tidak sependapat. Terkejut seketika dan akhirnya beberapa penjelasan terpaksa dibuat. Petikan Malaysiakini mengenai isu bai'ah.
Khalid: Tiada arahan amal bai'ah talak tiga
Nov 12, 09 11:20pm
Ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mengakui tidak mendapat arahan daripada PAS pusat dan majlis syura untuk mengamalkan bai'ah talak tiga, tetapi sebaliknya ia hanya pilihan di kalangan wakil rakyat PAS.

Bai'ah adalah sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika mereka mengkhianati parti.

"Ada (anggota PAS) tapi (secara) sukarela, bukan arahan, bai'ah (sumpah taat setia) dan taklik berasingan, terpulang kepada individu untuk mengukuhkan pendirian," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.



7. Saya hairan mengapa Zukifli tidak bertemu dengan Presiden PAS, Timbalannya atau Naib Presiden Pas bertanya mengenainya. Adakah akidah lari dan sebagainya jika ia benar-benar berlaku? Dia mesti sedar, dia bukan ulama untuk menyuarakan perkara yang membabitkan soal akidah seperti ini.

8. Saya juga hairan Zukifli seolah-olah tidak menghormati pemimpin beliau untuk mengutarakan sesuatu isu. Ada rakan-rakan memberitahu tindakan menyuruh Khalid keluar PAS dan menyertai DAP seperti budak kecil. Beliau gemar membuat tindakan sendiri sehingga menjadi aset untuk akhbar Nasional mencuri artikel di blog untuk disensasikan.

9. Menegur tidak salah tetapi sebagai kepimpinan parti yang bertanding sebagai ahli Parlimen, tidak wajar untuk beliau bertindak sendirian untuk mengutarakan pendapatnya. Beliau ada salurannya sendiri melainkan penulis blog, mereka bebas mengutarakan pendapat berdasarkan fakta dan pandangan masing-masing.

10. Tindakannya akan menyusahkan permuafakatan kerana beliau adalah ahli PKR dan ahli Parlimen PKR. Pendapat beliau boleh dianggap pendirian parti atau paling kurang boleh mempengaruhi atau digunakan pihak lain untuk memburukkan parti.

11. Zulkifli adalah antara orang yang saya kagumi kerana keberanian beliau tetapi adakalanya ia agak keterlaluan dan membelakangi parti yang diwakili. Susah kerja Presiden, jika mana-mana ahli mengambil sikap mendahului ketua.

12. Permuafakatan baru bermula dan boleh diibaratkan pokok baru ditanam, akarnya belum teguh lagi tetapi sudah ada yang cuba menggoyangkan pokok tersebut.

13. Di bawah adalah petikan kenyataan Zambry.

PETIKAN KENYATAAN ZAMBRY

Menarik apabila Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan akan menyaman akhbar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini kerana Dr Zambry selama ini adalah seorang yang sentiasa tenang dan tidak mudah melatah dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap dirinya.

Namun kali ini, beliau membuat keputusan tersebut kerana berpendapat laporan Suara Keadilan telah melampaui batas.

Lebih menarik kerana beliau pada mulanya bercadang menyaman akhbar berkenaan sama ada RM 1 atau 5 sen.

Agaknya, mungkin itulah nilai yang layak jika hendak dibandingkan dengan moral akhbar dan pemimpin parti berkenaan.

"Pada mulanya, cadangan adalah untuk saya menyaman mereka RM 1 atau 5 sen tetapi memandangkan pemimpin akhbar itu suka saman orang dengan nilai RM100 juta, jadi kenapa tidak saya saman RM100 juta juga?," katanya kepada pemberita selepas menyertai program gotong-royong bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh di Kampung Tai Lee di Buntong Ipoh, hari Ahad.

Dr Zambry membuat keputusan menyaman akhbar tersebut kerana laporannya jelas palsu yang mendakwa Dr Zambry tidak dibenarkan masuk ke Amerika Syarikat semasa lawatannya Disember lalu ke negara itu disebabkan nama beliau ada dalam senarai pengganas.

Akhbar itu melaporkan, Dr Zambry seterusnya dihantar pulang ke Malaysia.

Sedangkan sepanjang tempoh lawatan, TV3 khususnya menyiarkan lawatan beliau di Amerika Syarikat termasuk pertemuannya dengan bakal pelabur negara itu yang berminat untuk meninjau peluang pelaburan di Perak.

"Akhbar ini membuat pembohongan besar apabila melaporkan saya ditahan di Lapangan Terbang San Francisco di Amerika Syarikat, disiasat, disyaki pengganas dan kemudiannya dihantar pulang ke Malaysia...laporan terbabit tidak benar sama sekali dan ia jelas fitnah semata-mata," kata Dr Zambry.

Menurutnya, selama ini beliau tidak peduli dan tidak pernah bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan yang menggunakan bermacam-macam gelaran serta menulis pelbagai laporan palsu yang menyimpang bertujuan memburukkan kerajaan negeri pimpinannya.

"Tetapi dengan pembohongan yang keterlaluan dalam artikel keluaran terbaru mereka, sudah tiba masanya untuk saya bertindak," tegasnya.

Tambahnya, akhbar itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam pemberitaannya kerana ia secara tidak langsung mencerminkan kredibiliti pemimpin dan PKR sendiri.

14. Sewaktu berkhidmat di akhbar, banyak kejadian disaman oleh pihak tertentu dan berjuta ringgit pihak penerbitan terpaksa membayar saman kerana fakta yang salah. Sebab itu pentingnya fakta sebelum kita melaporkan. Ia lain daripada sudut pandangan tetapi menghebahkan seperti kes Zambry, jika dia dipihak yang benar kesannya mungkin rakyat akan berpendapat kita sentiasa berbohong untuk mensensasikan sesuatu isu.

15. Sebab itu saya katakan kita jangan jadi seperti UMNO. Sewaktu di akhbar, Ketua Pengarang selalu memberitahu, fakta adalah perkara terpenting dalam penulisan. Ia tidak boleh berbentuk andaian jika kita melaporkan sesuatu perkara.

No comments:

My POST