PAS JANGAN SEPERTI KADUK NAIK JUNJUNG

By: Norman

1. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Nizar yang menyampaikan salam buat saya menerusi Om....w'salam Saya juga mendoakan Datuk Seri cepat sembuh untuk kembali berjuang di dalam perjuangan.

2. PAS jangan seperti kaduk naik junjung, itulah amaran saya kepada seorang rakan perniagaan di Kuala Lumpur yang menghubungi saya semalam. Kami berbual hampir sejam di talian dan pelbagai isu dikupas mengenai senario politik tanah air.

3. Rakan saya memberitahu orang PAS marah bila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengistiharkan dirinya sebagai calon Perdana Menteri (future Prime Minister). Orang PAS masih mengharapkan Presiden mereka bakal menjadi ketua kerajaan andaikata PR memenangi pilihan raya akan datang. Dakwaan rakan saya, Keadilan di negeri Perak membuktikan parti tersebut tidak sekuat mana samada dari segi keanggotaan dan sokongan.

4. Saya katakan dari segi keahlian mungkin ada kebenarannya tetapi dari sokongan sama sekali tidak. Memang sumber yang saya dengar dari Pengarang sebuah akhbar harian, Keadilan tidak mempunyai ahli yang ramai dan kuat sepertimana DAP dan PAS tetapi saya katakan sokongan yang diterima oleh DAP dan PAS adalah kerana faktor ketua parti Keadilan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

5. Kita tidak boleh berbohong mengenainya kerana daripada undian yang lalu, dikesan lebih 300 ribu pengundi tidak berparti. Mereka menyokong kerana kesepakatan yang terjalin di antara ketiga-tiga parti ini. Contoh terbaik ketika pilihan raya 1999, PAS mendapat keputusan yang baik di Kelantan dan Terengganu kerana faktor Anwar Ibrahim. Begitu juga dengan negeri-negeri lain.

6. Sekali lagi apabila Anwar keluar dari penjara, dia mengetuai pembangkang untuk meraih banyak undi daripada mereka yang tidak berparti. Jadi PAS jangan lupa perkara seperti ini, mereka tidak berjaya duduk semeja seperti sekarang ini jika tidak ada Keadilan atau Anwar Ibrahim untuk menyatukan mereka.

7. Bukti kekuatan PAS tidak seberapa, walaupun PR berjaya menawan Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Wilayah Persekutuan tetapi berapa banyak undi Melayu yang kita perolehi. PAS masih berbangga dengan Kelantan kerana majoriti penduduk Kelantan berbangsa Melayu tetapi bagaimana undi di tempat lain. Mengapa mereka tidak memenangi atau menguasai Terengganu?

8. Adakah PAS sedar selain Kelantan, sebenarnya mereka bukan juara untuk pengundi Melayu. Contohnya, walaupun Perak diketuai MB Melayu tetapi daripada 31 ADUN kerajaan baru ini, 21 daripadanya ADUN nya bukan Melayu. Selangor juga daripada 36 ADUN, 21 daripada ADUNnya nya bukan di kalangan orang Melayu. Pulau Pinang lebih parah, daripada 29 ADUN, hanya 3 ADUN Melayu. Wilayah Persektuan juga hanya 3 ahli Parlimennya yang berbangsa Melayu. (Jika saya silap perkiraan ini sila maklumkan).

9. Jika benar PAS hebat, tentulah mereka akan menguasai DUN kawasan Melayu terutama di negeri Perak. Dalam soal ini apabila rakyat sudah mula menerima ideologi PR, jadi jangan dipersoalkan mengenainya lagi. Kita kena tunjukkan sefahaman yang jitu. Jika tidak rakyat akan bimbang mengenainya.

10. Permuafakatan ini berlaku kerana PAS, PKR dan DAP mempunyai banyak persamaan dalam agenda perjuangan mereka seperti menentang rasuah, ISA, keadilan dan sebagainya. Kita tidak mahu lagi melihat rakyat teraniaya kerana ISA, yang kaya semakin kaya, salah guna kuasa, rasuah yang melibatkan berbilion ringgit wang rakyat dan sebagainya.

11. Apa salahnya diberikan kepada Anwar. Apa salahnya kita menjadi seperti Iran dan Turki, ulama dibelakang ketua kerajaan. Itu yang lebih penting apatah lagi di negara kita masyarakatnya berbilang kaum. Yang penting dahulu permuafakatan ini berterusan untuk menghadapi pilihan raya mendatang dan bukannya cuba menimbulka isu siapa PM dan sebagainya. Ini belum menang dah kecoh nak kerusi PM.

12. Perlu ada persediaan tetapi bukan dijadikan isu utama. Tidak saya nafikan PAS semakin diterima kerana penampilan mereka kini jauh berbeza dari dahulu. Pada 80 an PAS cuba menjadi jaguhan pengundi Melayu tetapi mereka lupa di negara ini, PAS tidak akan mampu berbuat demikian.

13. Pertama kerana orang Melayu yang hidup di zaman Inggeris masih ramai di dunia ini. Fahaman mereka sudah lama dengan jiwa Inggeris yang terus disambung oleh UMNO. Kedua masyarakat bukan Melayu (pengundi) menguasai 40% penduduk di negara ini. Jadi jika mengikut teori akal memang PAS tidak mampu memerintah negara ini tanpa sokongan Keadilan atau DAP.

14. Yang kita mahu ketika ini apabila PR memerintah, peruntukkan untuk setiap negeri diberikan seadil-adilnya. Kelantan akan mendapat royalti minyak kembali dan begitu juga Terengganu. Ini yang kita mahukan agar rakyat miskin terbela dan bukan Datuk, Tan Sri atau orang politik yang mencuri duit rakyat untuk keluarga mereka. Badan kehakiman dan polis tidak diganggu dan beberapa isu penting yang lain.

15. Jika PKR dan DAP boleh menerima Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar Perak walaupun PAS hanya memenangi beberapa kerusi sahaja, mengapa PAS tidak boleh menerima Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri. Apa bezanya kedua-dua nama ini. Bukankah kedua-duanya Islam dan mempunyai persamaan dalam agenda perjuangan mereka.

16. Daripada maklum balas rakan setugas yang kini bergelar Ketua Pemberita berbangsa Cina sebulan yang lalu, masyarakat Cina menerima PR kerana yakin Keadilan mampu menjadi
check and balance di dalam ideologi perjuangan PR.

17. Maaf jika saya ingin menegur, sejak akhir-akhir kita dapat melihat penampilan ahli PAS sudah jauh berbeza. Penampilan bukan sahaja mampu bergaul dengan bangsa lain tetapi dari segi penampilan diri. Lihat Husam Musa, Datuk Seri Nizar, Salahuddin Ayub, Mahfuz dan lain-lain, penampilan mereka kini dilihat tiada bezanya dengan pemimpin parti politik yang lain.

18. Ia juga sebagai bonus menarik perhatian masyarakat bukan Islam untuk menyokong mereka kerana sebelum ini mereka melihat PAS membawa imej Islam yang ekstrim. Tidak salah kita tampil dengan imej yang lebih kemas apatah lagi mereka yang bukan bergelar ulama. Tak salah juga jika berimej serban dan jubah.

19. Jadi kepada PAS di Perak khasnya, bantulah Keadilan, jika menang PR semua akan dapat nikmatnya. Jika ada terkurang pada mereka kita bantu dan perlu diingat kekuatan Keadilan di negeri Sabah jauh lebih hebat dari PAS



20. Akhir kata kita perlu insaf atas keterlanjuran kita. Kita mesti saling menghormati kekuatan rakan parti kita yang lain. Jika terkurang kita bantu, jika tidak faham kita terangkan. Jangan berkira soal perjuangan. Hari ini mungkin kita kuat, esok lusa belum tentu. Adalah lebih baik kita bersatu. Teruskan perjuangan!!!

No comments:

My POST