KAKI BAKAR

12.01.2010
By: Norman

1. Bila saya mengulas mengenai Rosmah, isteri Perdana Menteri terus beberapa teman di Kuala Lumpur menghubungi saya. Kata mereka tak cukup gula, saya tersenyum dan memberitahu mengaibkan orang sampai begitu sekali bukan kerja saya. Itu kerja orang UMNO, jadi biarkan mereka.

2. Lantas saya mengingatkan kembali rakan-rakan tadi, pada tahun 1998 dulu pun saya sanggup bersusah payah berarak di jalan raya bukan kerana saya penyokong Anwar Ibrahim. Saya tidak mengikuti sangat Anwar Ibrahim seperti saya lakukan sekarang. Saya tiba-tiba menyokongnya ketika itu kerana saya kasihan dia diaibkan begitu sekali.

3. Ya, memang benar banyak yang saya tahu mengenai diri Rosmah. Ada yang baik dan ada sebaliknya. Tetapi untuk menelanjanginya di blog ini sepertimana mereka lakukan kepada Anwar, tidak sama sekali. Akhirnya saya memberitahu rakan-rakan tadi, memang kamu semua ini kaki bakar (disambut dengan ketawa).

4. Tak cukup dengan itu, mereka menyuruh saya menulis tentang seorang menteri yang membelikan kereta Porsche Cayenne untuk seorang artis lelaki yang disiarkan di akhbar Keadilan suatu ketika dahulu. Benar saya tahu siapa menteri tersebut dan saya tahu siapa artis tersebut.

5. Tetapi saya masih memikirkan tentang maruah keluarga menteri ini yang keluarganya dari golongan yang disegani. Lagipun kita tidak tahu niatnya berbuat demikian walaupun secara teorinya 'tiada angin masakan pokok bergoyang'. Biarlah penulis blog lain yang beruat demikian.

6. Akhir-akhir ini banyak betul kita dengar berita mengenai 'bakar'. Bukan kebakaran tetapi membakar atau dibakar. Kes isteri membakar diri, gereja dibakar, kedai minyak terbakar dan bermacam-macam lagi.

7. Kesimpulannya kejadian tersebut 90% daripadanya berpunca dari 'kaki bakar'. Kes gereja terbakar, siapa kaki bakar untuk memanaskan suasana. Jangan sama sekali kita seperti peribahasa 'baling batu sembunyi tangan'. Kita yang memanaskan suasana tiba-tiba kita bersuara ini bukan ajaran Islam.

8. Yang lebih penting di sini, Islam juga amat melarang manusia menjadi 'kaki bakar' (penghasut). Apa bezanya antara dengan 'tidak menghalang dengan biarkan'. Sebab itu saya tegas mengatakan 'jangan terlibat'. Kita ada ulama yang dibayar gaji, yang selama ini macam tak berfungsi, biar mereka memainkan peranan.

9. Ini kita yang bukan bertaraf ulama pula yang beria-ria mengeluarkan fatwa mengikut fahaman kita. Jika tidak boleh, maklumkan sahaja tidak boleh dan saya rasa majalah tersebut juga akan patuh. Mengapa menyemarakkan rakyat mengenainya. Mengapa tidak menyemarakkan rakyat untuk kita menggunakan hukum hudud? 'Kaki bakar' tak bertempat namanya.

10. Memang orang Malaysia suka makan roti bakar, ikan bakar, daging bakar dan lain-lainnya. Tetapi dalam soal seperti ini, kita jangan jadi seperti itu. Jika nak cerita tentang peribadi menteri waktu zaman saya dulu banyak. Nak cerita tentang isteri menteri pun banyak tetapi bukan soal peribadi yang kita tentang tetapi soal dasar parti mereka.

11. Peribadi jatuh bab yang lain. Apatah lagi melibatkan rumahtangga. Jika menteri makan rasuah, ia kita akan hebahkan tetapi jika menteri ada isteri dua, kena 'Q control', tidak perlu rasanya.

12. Jadi kepada rakyat Malaysia, cukuplah kita menjadi kaki bakar. Yang penting perjuangan menegakkan keadilan itu yang lebih penting. Saya yakin jika permuafakatan di antara tiga parti ini berjalan dengan lancar dan kekal untuk dua musim pilihanraya lagi, PR akan memerintah negara ini. Percayalah.

No comments:

My POST