Jom pi sekolah, bab krisis Perak.......
Perak buka pekung kerajaan BN (MALAYSIAKINI)
Amin Iskandar
Krisis politik di Perak secara tidak langsung telah memberikan “pakej rangsangan ekonomi” kepada rakyat di negeri tersebut. Contohnya apabila sidang DUN Perak berlangsung 7 Mei lalu, berbondong- bondonglah para wartawan, penulis blog, penganalisis politik dan pelancong politik dari luar negeri itu turut serta.
Apabila Ipoh dipenuhi dengan orang-orang luar, maka rancaklah aktiviti ekonomi. Hotel-hotel berpenghuni, restoran-restoran lebih laris, termasuk kedai-kedai mamak mendapat pelanggan luar biasa banyaknya.
Ia secara tidak langsung dapat membantu rakyat Perak untuk terus bertahan walaupun aktiviti ekonomi di negeri tersebut lembab akibat ketidaktentuan politik sejak Februari lepas.
Menurut Khalid Samad, ahli parlimen Shah Alam, pergolakan politik di Perak "satu pendidikan politik yang terbaik" kepada rakyat.
Menurutnya, juga adik kepada seorang ahli politik veteran Umno, krisis di Perak menunjukkan dengan jelas kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku dalam institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam.
Memang benar apa yang dikatakan oleh ahli parlimen PAS itu. Sebelumnya, memang begitu sukar untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kepincangan yang berlaku di negara ini.
Dengan berlakunya rampasan kuasa di Perak, rakyat dapat melihat sendiri bagaimana institusi-institusi kehakiman, polis dan penjawat-penjawat awam diperkudakan oleh Barisan Nasional untuk menghalalkan tindakan mereka merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat.
Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Mohd Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak yang sah. Menurut hakimnya Abdul Aziz Abdul Rahim, ADUN PAS itu adalah menteri besar Perak yang sah kerana undi tidak percaya tidak pernah diusulkan terhadap Nizar dalam persidangan DUN Perak.
"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?
"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakimannya.
Selepas penghakiman itu, Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry Abd Kadir, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.
Kegembiraan Nizar dan barisan exco Pakatan Rakyat Perak tidak bertahan lama. Keesokan harinya Zambry, menteri besar BN, memfailkan rayuan mahkamah Putrajaya.
Rayuan Zambry itu didengar dan diputuskan pada hari yang sama. Mahkamah Rayuan bertindak dengan begitu pantas dan efisyen. Jika kes-kes lain turut diperlakukan sebegini rupa, maka mahkamah di Malaysia akan menjadi mahkamah yang paling efisyen di dunia!
Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - yang membawa akibat Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah selama tidak sampai 24 jam!
Pada 22 Mei pula, Mahkamah Rayuan menerima permohonan Zambry untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan pelantikan Nizar sebagai menteri besar.
Keputusan ini akan pasti dirayu pula oleh Nizar di Mahkamah Persekutuan. Apakah ia akan memihak kepada Nizar atau Zambry? Pertikaian di mahkamah antara dua menteri besar ini diperhatian dengan dekat oleh orang ramai - sekali gus mengheret para hakim kanan di depan mahkamah rakyat.
Hakim membuat keputusan, rakyat menentukan kesahihan keputusan mereka!Akibat silih ganti pertukaran ini, pelbagai pihak mula mendesak lagi agar DUN Perak dibubarkan untuk menyelesaikan kemelut politik politik yang berlarutan selama beberapa bulan.
Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, krisis politik di Perak hanya dapat diselesaikan dengan mengembalikan kuasa kepada rakyat apabila DUN dibubarkan.
“Jika Perak lumpuh, bukan hanya Perak yang akan lumpuh tetapi seluruh negara akan lumpuh.
"Jika istana Perak membuat keputusan salah (tidak membubarkan DUN), ia bukan sahaja akan menjejaskan institusi beraja di negeri itu tetapi keseluruhan institusi Raja-raja Melayu.
"Jika semua kes mahkamah telah diselesaikan sekalipun, ia tidak akan memuaskan hati rakyat. Jalan yang terbaik ialah krisis politik ini diselesaikan melalui pilihanraya di negeri tersebut," katanya ketika ditemuramah oleh penulis ini sewaktu pelancaran Pertandingan Menulis Esei Bertemakan "One Nation, One Malaysia" anjuran yayasannya My Future Foundation pada 13 Mei lalu.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) turut mendesak agar hak rakyat Perak untuk memilih pemimpin mereka dikembalikan - bubarkan DUN Perak dan adakan pilihanraya negeri.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk rakyat di Perak diberikan peluang untuk menggunakan hak mereka sekali lagi untuk memilih kerajaan pilihannya. Hak memilih kerajaan adalah hak asasi manusia," kata pengerusinya Abu Talib Osman.
Beliau merujuk Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 yang mengatakan bahawa rakyat haruslah menjadi asas kepada pembentukan sesebuah kerajaan.
Kemelut Perak bertukar hujan emas (MALAYSIAKINI)
Hishamuddin Rais
Apa yang sedang berlaku di Perak amat baik sekali. Kelam-kabut dan kacau-bilau yang sedang kita lihat berlaku di Perak sekali imbas tidak mendatangkan faedah kepada orang ramai. Tanggapan sebegini satu pandangan yang salah.
Apa yang berlaku di Perak ini adalah satu rahmat untuk seluruh warga Malaysia. Hujan emas sedang turun mencurah-curah di Perak.
Untuk pertama kalinya seluruh rakyat Malaysia telah melihat contoh yang amat jelas tentang peranan monarki atau institut beraja. Monarki yang selama ini amat lunak dengan ucapan-ucapan yang molok-molok telah mendodoikan orang ramai.
Hasilnya, orang ramai telah terlena dan terlalai. Tiba-tiba monarki telah diduga – sama ada berdiri tegak menjadi payung rakyat atau bersama kuasa kezaliman.
Tindakan dan keputusan yang diambil oleh monarki di Perak memperlihatkan sifat asli monarki dengan jelas. Tingkah laku dan tindakan monarki ini telah melahirkan sentimen republikan di kalangan orang Melayu. Sentimen republikan ini memang sedia wujud dalam hati dan sanubari orang ramai – tetapi tidak meluas.
Apa yang terjadi di Perak telah mengembangkan lagi sentimen republikan ini. Apa yang menarik ialah sentimen republikan ini bukan lahir kerana kempen dan propaganda tetapi kerana tingkah laku monarki itu sendiri.
Orang ramai yang selama ini melihat monarki sebagai simbol kesaksamaan dan ketelusan telah mendapat satu pendidikan politik yang amat berharga. Kini Perak sedang menjadi sekolah politik yang terunggul.
"Raja adil raja di sembah, raja zalim raja disanggah" benar-benar menjadi realiti yang hidup di Perak.
Sekolah politik yang sedang berjalan di Perak ini juga sedang mendidik warga seluruh Malaysia untuk lebih waspada agar mengetahui hak-hak mereka dalam Perlembagaan. Untuk pertama kalinya warga telah disedarkan untuk bangun membaca dan memahami beberapa fasal dalam perlembagaan Perak.
Hasil daripada krisis ini, warga Perak khususnya telah mengetahui peranan raja, peranan menteri besar, peranan tuan Speaker DUN dan had-had yang diwujudkan melalui perlembagaan. Selama kini tidak ramai warga yang ingin mengambil tahu secara terperinci tentang hal-hal perundangan ini.
Mereka lalai dan membiarkan para peguam untuk mentafsir hal perundangan. Apa yang sedang berlaku di Perak telah mendidik rakyat agar mereka sendiri wajib mengetahui dan memahami hak dan kuasa sebenarnya berada di dalam genggaman mereka.
Najib Razak berniat merancang "rampasan kuasa" di Perak kerana ingin memperlihatkan bahawa dirinya bukanlah lembik seperti Abdullah Ahmad Badawi. Rampasan yang dilakukan sebelum peralihan kuasa kepadanya ingin dijadikan sebagai tiupan sangkakala untuk menghapuskan pengaruh Pakatan Rakyat.
Tiupan sangkakala Najib ini diharap-harapkan dapat membangunkan kembali semangat United Malays National Organisation yang telah pecah bertaburan sesudah 8 Mac 2008. Harapan Najib ini jelas telah ranap. Dari hari ke hari Perak sedang menjerut leher United Malays National Organisation. Pemanjangan krisis ini amat baik untuk Pakatan Rakyat. Lagi lama Perak menanah, lagi subur sokongan orang ramai terhadap Pakatan Rakyat.
Hari ini MCA, Gerakan dan PPP – komponen Barisan Nasional – telah mula bersuara seirama dengan nada Pakatan Rakyat. Inilah tanda-tanda politik sihat apabila elemen-elemen demokrat dalam Barisan Nasional telah mula bersuara.
Badan-badan NGO seperti Suhakam dan Majlis Peguam juga telah mula bersuara. Lembaga-lembaga ini telah menyatakan pandangan mereka untuk menolak tindak-tanduk yang dilakukan oleh United Malays National Organisation dalam usaha mereka untuk mengambil alih kuasa pentabiran di Perak.
Malah dari dalam United Malays National Organisation sendiri kita telah mula mendengar suara-suara yang tidak mempersetujui langkah dan tindak-tanduk yang telah diambil oleh Najib. Inilah tanda-tanda bahawa masih wujud elemen sihat dan sentimen demokrat di dalam United Malays National Organisation - walaupun kecil.
Suara-suara ini bukan suara musuh tetapi suara sahabat.
Krisis adalah dugaan. Krisis di Perak telah menduga Pakatan Rakyat. Dugaan ini telah memperkukuhkan lagi setiakawan di antara parti PAS, PKR dan DAP. Semangat setiakawan yang kukuh dan berpanjangan akan lahir dalam kancah perjuangan.
Perak adalah medan tempur yang menduga tiga buah parti politik untuk mengetepikan agenda sampingan dan menerkam agenda induk. Kebijaksaan berpolitik di Perak akan dapat membezakan yang mana kayu dan yang mana hutan.
Setiakawan ini telah dilihat dengan amat jelas sekali dalam pilihanraya kecil Bukit Gantang. DAP yang selama ini dimomokkan sebagai parti kecinaan telah diterima oleh orang Melayu. PAS yang selama ini dimomokkan dengan hukum hududnya telah menerobos masuk ke dalam kawah Cina. Inilah perkembangan yang amat menakutkan United Malays National Organisation.
Dua buah parti ini - sebelum ini - selalu digunakan sebagai senjata ampuh United Malays National Organisation untuk memecah belahkan orang ramai, untuk saling menumbuhkan kecurigaan sesama sendiri.
Di Perak, orang Melayu tidak lagi waswas dan gentar untuk menerima DAP. Di Perak, orang Cina tidak lagi takut untuk menerima PAS. Setiakawan seperti ini pasti akan menakutkan sesiapa sahaja yang mengamalkan politik rasis dan perkauman.
Dalam kancah pertempuran pucuk pimpinan juga akan diduga. Krisis di Perak telah memunculkan dua ikon kepimpinan yang unggul – Mohammad Nizar Jamaluddin dan V Sivakumar. Kalau di permulaan era Reformasi dahulu, yang muncul hanya Anwar Ibrahim - masih lagi dilihat sebagai perwakilan ikon Melayu. Anwar mengambil masa yang agak lama untuk meyakinkan warga bukan Melayu bahawa reformasi adalah agenda untuk semua.
Berbanding dengan krisis Perak, secara sepontan Nizar dan Sivakumar telah dilihat sebagai pemimpin yang mewakili semua bangsa. Tidak timbul apa-apa persoalan atau waswas seperti yang terjadi kepada Anwar.
Perkembangan ini membuktikan telah ada anjakan dan kedewasaan pemahaman politik untuk semua warga Malaysia.
Apa yang berlaku di Perak ini tidak banyak bezanya daripada apa yang berlaku pada 1998. Pada malam 20 September, Anwar ditangkap di rumahnya. Episod penangkapan ini telah menjadi ombak besar yang membuka gelombang Reformasi. Pada malam itu mata rakyat Malaysia telah terbuka untuk melihat kezaliman yang diwakili oleh Mahathir Mohamad.
Di Perak, episod ini berulang lagi. Pada 7 Mei lalu, sekali lagi mata rakyat terbuka apabila melihat Sivakumar diheret keluar dari kerusi tuan Speaker dan dikurung agar kuasanya dapat dirampas.
Kini sekali lagi, satu Malaysia telah terbuka mata untuk melihat penerusan kezaliman yang diwakili oleh Najib Razak.Sama ada DUN dibubar atau tidak dibubar bukan lagi persoalan. Sekolah politik yang sedang dibuka di Perak wajib disebarkan ke seluruh negara. Aktivis dan angkatan muda Pakatan Rakyat wajib menjelajah ke seluruh pelusuk untuk membawa sekolah politik ini.
Ombak Perak ini wajib terus berdesir sehingga menjadi gelora membadai. Bara kemarahan rakyat jangan dipadam-padamkan malah wajib terus dikipas dan dibakar.
Musim menuai hanya akan sampai apabila pilihanraya umum diadakan nanti. Perak sedang membawa hujan emas kepada Pakatan Rakyat. Lebih lama hujan ini, lebih subur politik Malaysia.