PESANAN UNTUK NIZAR & MELAYUKAH LAGI UMNO

By: Norman

1. Terima kasih kepada Encik Hamidun kerana ikhlas untuk mempertemukan saya dengan Datuk Seri Nizar. Insyallah saya akan pulang ke Perak dalam sebulan dua ini apabila selesai urusan perniagaan saya di sini. Begitu juga orang kuat di Manjung yang saya tidak mahu maklumkan jawatannya kerana tidak mahu jawatan besarnya diganggu gugat walaupun niatnya baik untuk bertemu dan ingin saya memberi pandangan mengenai pembangunan di Manjung.

2. Ya, saya menerima pandangan adakalanya pandangan saya betul dan adakalanya pandangan saya tersasar. Jika betul Alhamdulillah dan jika salah itu datang dari diri saya sendiri. Apapun saya akan menulis dari pandangan peribadi saya tanpa prejudis. Jika pihak kita ada terkurang dan ada salahnya, saya akan tetap menegur. Dikritik, disinis dimaki sudah lama ada di dalam diari saya selama 16 tahun bekerja di akhbar dahulu, jadi apa perlu ditakutkan.

3. Sebenarnya saya tidak bersetuju Nizar ketika dia mula-mula ingin bertanding di Parlimen Bukit Gantang. Saya merungut bersama rakan seperjuangan yang juga seorang Timbalan Pengarang sebuah akhbar ketika ini, mengapa Nizar perlu bertanding di sana. Bagaimanapun ketika sampai di Kuala Kangsar, akhirnya kami bersetuju dia bertanding di situ atas dasar moral.

4. Bila Nizar menang ramai pihak yang malu. Membuktikan Nizar adalah pilihan rakyat. Cuma yang saya bimbangkan adakah Nizar mempunyai banyak masa untuk bersama rakyat tempat yang ditandinginya. Bagi saya, Nizar perlu banyak berkampung di Manjung. Saya tidak pasti samada Nizar menghuni di Manjung atau di tempat asalnya.

5. Saya melihat antara kehebatan pemimpin di Sabah, mereka hampir setiap minggu berada di kampung (kawasan pengundi). Datuk Masidi contohnya, dia akan cuba menghadiri setiap majlis hari raya atau jemputan perkahwinan di rumah orang-orang kampung di kawasannya. Itu antara kebaikannya tetapi di sebalik itu banyak keburukkannya. Dalam tempoh tiga jam, Masidi memenuhi jemputan perkahwinan hingga empat rumah bagi memenangi hati pengundinya.

6. Nizar juga perlu lakukan dan mungkin Nizar sudah lakukan tetapi dia mesti lebih kerap. Dia mesti menjadi contoh terbaik dan tauladan pemimpin PR yang lain terutama di negeri Perak ini. Lebih penting Nizar sebenarnya memerlukan kumpulan 'pemikir' yang hebat sepertimana yang dimiliki oleh pemimpin hebat di seluruh dunia.

7. Perlu diingat UMNO sendiri mempunyai 'team pemikir' yang hebat untuk mencari segala kesilapan yang dilakukan PR. Disebabkan itu mereka sentiasa akan muncul isu-isu baru dan provokasi kepada beberapa pemimpin PR sehingga kita terperangkap dengan mainan mereka. Adakalanya tindakan sesetengah pemimpim PR untuk tidak menjawab soalan provakasi media, ada baiknya.

8. 'Pemikir' Nizar tidak boleh jadi 'pembodek'. Ia akan membunuh karier Nizar lebih awal. Ini kerana 'pembodek' selalunya ingin rapat kerana sesuatu. Jika pun tidak mereka seolah lebih sudu dari kuah. Duduk mengiringi tetapi muka serius macam SB atau pengawal keselamatan khas. Senyum pun payah, nak bersembang jauh sekali. Maksud saya mungkin bukan 'pengiring' Nizar tetapi sesetengah pemimpin.

9. 'Pemikir' Nizar hendak bergerak secara aktif di dalam masyarakat untuk mendapatkan maklumat isu semasa atau rungutan pengundi setempat mengenai mutu prestasi Nizar dengan ikhlas dan jujur. Jangan ditambah pula garam dan gula apabila menyampaikan berita tersebut kerana ia akan menyusahkan ketua mereka juga.

10. Pemikir ini hendaklah merekodkan segala maklumat yang dianggap penting terutama apa yang dirungutkan. Cerita banyak rungutan dari pujian. Pujian itu kalau tidak perlu, tidak dimaklumkan tidak mengapa. Biar pemimpin kita kena kerja kuat lagi kerana dia sudah memilih tanggungjawab sebagai khalifah.

11. Apabila menjelang pilihan raya, pasukan 'pemikir' ini sudah mengumpul pelbagai isu apa yang dirungut oleh masyarakat setempat. Pasukan 'pemikir' ini hendaklah dilihat sebagai seorang yang tidak berpihak agar dia mudah masuk di dalam mana-mana pertubuhan di kawasan tersebut.

12. Saya tahu Nizar seorang yang bijak tetapi saya memohon Nizar apabila ingin menyampaikan ceramah hendaklah membuat kajian atau mengumpul segala isu yang penting bagi menarik minat orang ramai mendengar ceramah beliau. Saya sudah mendengar hampir kesemua penceramah hebat dari PR, saya sangat tertarik dengan ceramah Saifuddin Nasution.

13. Saifuddin Nasution walaupun cara dia berceramah tidak lantang tetapi ceramahnya penuh dengan pengisian. Saifuddin biasanya mengumpulkan segala fakta di dalam kertas untuk diceramahkan kepada pendengar. Kita seronok kerana maklumat banyak daripada Ezam Mohd Nor yang berdegah-degah tetapi pengisian tiada atau kurang. Tun Dr Mahathir juga menurut Tun Siti Hasamah, beliau akan mengarang text ucapan beliau sendiri pada malamnya terutama isu-isu yang penting. Mahathir cakap 'rilek's tetapi penuh dengan sinis dan pengisian.

14. Banyak lagi yang ingin disampaikan tetapi saya anggap sebagai sulit dan biarkan pertemuan bersama Nizar nanti saya akan sampaikan kepadanya secara terus.

15. UMNO...slogan Melayu sudah sebati dengan parti ini. Keris tanpa sarung sudah menjadi ikon kepada mereka sebagai lambang kehebatan Melayu. Cuma ingin bertanya adakah mereka tahu mereka sebenarnya sudah tidak boleh mempergunakan isu Melayu ini di dalam himpunan atau kempen mereka.

16. UMNO sudah tidak Melayu lagi. Di Sabah hampir kesemuanya bukannya orang Melayu. Mereka hanyalah orang Islam tetapi bukan berketurunan Melayu. Mungkin UMNO malu untuk menyebut Islam kerana PAS lebih Islam dari mereka atau Islam bukan agenda perjuangan mereka.

17. UMNO terdesak ketika zaman Tun Mahathir dulu apabila PBS tiba-tiba bertindak keluar dari Barisan Nasional. Tun Mahathir ketika itu seolah-olah tidak lagi mempercayai mana-mana parti yang sedia ada di Sabah ketika itu. Akhirnya beliau menubuhkan UMNO di Sabah dan ini sangat bertentangan dengan ideologi UMNO sendiri yang kononnya memperjuangkan orang Melayu.

18. Malah menurut seorang teman, di Ranau, Bendahari Bahagian UMNO di Ranau adalah seorang cina. Saya tidak pasti tetapi yang memaklumkan kepada saya adalah orang UMNO kawasan itu sendiri. Saya juga tidak pasti orang itu berbangsa cina beragama Islam atau cina bukan Islam. Terpulang kepada PR untuk menyiasat perkara ini atau di Sabah ahli UMNOnya mempunyai keitimewaan seperti keistimewaan Sabah dalam beberapa perkara.

19. Apapun di Sabah ahli UMNO kebanyakannya. terdiri daripada orang Kadazan, Dusun atau Kadasan Dusun sendiri. Jadi saya keliru mengapa mereka tidak mengiktirafkan sahaja parti mereka untuk orang Islam atau UMNO fobia untuk menggunakan nama Islam kerana dibimbangi akan dimarahi oleh pihak British atau parti komponen mereka.

Berjumpa lagi di lain masa.

No comments: