PEMIMPIN YANG HEBAT ADALAH PEMIKIR YANG HEBAT'.

25 Dis 2009

By: Norman

1. Pergantungan ekonomi Perak terhadap hasil bijih timah sudah berakhir. Dari sebuah negeri yang kaya raya kerana hasil timahnya, kini mereka lebih bergantung kepada hasil hutan, pelancongan dan pelaburan asing.

2. Ekonomi Kelantan selain hasil dari perhutanan , sektor pelancongan merupakan sumber terpenting di negeri tersebut. Pengalaman setahun tinggal di Kelantan sudah cukup untuk membuktikan apabila tiba musim cuti sekolah, kesemua hotel dari bertaraf lima bintang hinggalah tiada bintang penuh ditempah oleh pelancong tempatan.

3. Hasilnya ramai peniaga Kelantan yang hanya membuka perniagaan kedai berkeluasan 10 kaki lebar 10 kaki panjang mampu membina rumah banglo. Kelantan walaupun disekat pelbagai cara oleh kerajaan pusat mampu bertahan kerana sektor pelancongan dan rakyat Kelantan sendiri yang merantau membawa hasil pendapatan ke negeri mereka untuk dimajukan tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.

4. Jika kini Kelantan mampu meminta hasil dari Petronas, Perak tidak boleh mengharap apapun dari sumber tersebut. Perak kini lebih bergantung kepada hasil bumi dan populasi penduduknya yang menjana ekonomi negeri menerusi pembelian antara sendiri. Selain itu sektor pelancongan adalah produk terpenting negeri ini.

5. Jika kita mampu mengambil kembali takhta pemerintahan Perak, apakah yang perlu kita lakukan selain memikat pelabur asing. Pelaburan asing merupakan sumber terbaik pendapatan negeri tetapi andainya kerajaan pusat masih diperintah oleh BN, kerajaan negeri akan menghadapi sedikit kesukaran walaupun mampu jika ada unit khas yang dilantik untuk menarik pelabur asing ke negeri ini.

6. Bagi saya pelancongan adalah antara faktor terpenting di mana-mana negara atau negeri untuk menambahkan sumber ekonomi penduduk negeri. Kerajaan negeri mesti mengenal pasti produk pelanongan negeri yang diyakini kini diminati oleh pelancong tempatan. Mesti diingat, di Kelantan mereka tidak bergantung kepada pelancong luar tetapi 90% mereka yang melancong ke sana terdiri dari rakyat tempatan (pelancong dalam negara).

7. Kita mesti melakukan penyelidikan serius terhadap kecenderungan pelancong tempatan ke negeri ini (Perak). Antara yang kini menjadi sebutan Bukit Merah dan Lost World untuk sektor pelancongan komersial. Selain itu sejak berpuluh tahun lamanya Teluk Batik dan Pulau Pangkor terus menjadi perhatian pelancong ke Perak dari seluruh negara termasuk Sabah dan sarawak.

8. Teluk Batik telah dimodenkan tetapi daya tarikan masih tidak memenuhi selera pelancong. Sewajarnya di kawasan yang masih luas di situ tersebut dibina Lagoon untuk menambahkan lagi aktiviti pelancongan di situ.

9. Pulau Pangkor perlu hebat seperti Langkawi kerana kedua-kedua pulau ini hampir sama kehebatannya. Cuma bezanya, Langkawi menerima peruntukkan yang besar di bawah Tun Mahathir. Andaikata kita berjaya menguasai pusat, kerajaan Nizar mampu untuk meminta peruntukkan besar sebagai pelaburan terbaik Perak dalam sektor pelancongan.

10. Kita mesti menjadi negeri yang mampu berdikari. Kata orang, kalau minta ikan, setiap hari kita akan meminta tetapi jika kita meminta mata kail, kita mampu mencari ikan dengan sendiri. Dubai adalah contoh terbaik, kerana bimbang akan kepupusan minyak, kerajaan negara tersebut telah membina Dubai sebagai pusat pelancongan terhebat di dunia. Mungkin kini mereka ada sedikit masalah kerana kos yang terlalu tinggi tetapi untuk jangka panjang Dubai akan terus dilawati berpuluh juta pelancong setiap tahun.

11. Kedah dilawati kerana Langkawi tetapi malangnya Perlis yang menerima tempias. Saya hairan susah sangatkah untuk kerajaan negeri Kedah BN dahulu untuk meminta peruntukkan untuk membina jeti khas yang cantik dan ada daya tarikan yang lebih berdekatan dengan Pulau Langkawi memandangkan jeti Kuala Kedah agak jauh perjalanannya ke pulau tersebut.

12. Ini ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama. Andaikata tiada Langkawi, Perlis mungkin hanya dilawati oleh menantu mereka sahaja. Pemimpin Perlis langsung tidak tahu bagaimana untuk menarik pelancong ke negeri tersebut dengan daya tarikan tersendiri. Jika Singapura boleh menjadi begitu hebat mengapa tidak Perlis. Bezanya mentaliti pemimpinnya membuatkan Perlis jadi begitu. Perlu diingat, bulan April tahun hadapan, dijangka berjuta pelancong berkunjung ke Singapura apabila Universal Studio dibuka.

13. Pulau Pinang, Melaka, Pahang, Kelantan dan Sabah mengikut perkiraan saya merupakan negeri yang paling diminati oleh rakyat di negara ini sebagai destinasi pelancongan. Selangor, N. Sembilan dan Johor mendapat tempias kerana kedudukannya. Perak pula menjadi laluan utama penduduk ke utara tetapi ekonominya dikaut oleh PLUS di atas jalan raya sahaja. Jadi fikir-fikirkanlah. 'Pemimpin yang hebat adalah pemikir yang hebat'.


Saya akan bercuti selama empat hari untuk bersama-sama isteri menziarahi saudara mara yang beragama Kristian di Ranau. Semoga kita berjumpa lagi...Insyallah.

2 comments:

cicitHJHASSANu said...

salam om...brader Norman.

banyak info menarik sari dua ni,idea dan penulisan yang santai dan kemas...

moga brader Norman dapat teruskan di blog om,mudah-mudahan dapat cilok ilmu dan 'rahsia'..

AFRAR YUNUS said...

salam sdra
selamat berblog dan semoga membawa perubahan.