NIZAR PERLU RASA DIRI MASIH SEPERTI MB

24 Dis 2009

1. Masih diingatan ketika Datuk Seri Nizar berkunjung ke rumah saya suatu ketika dahulu. Dia dibawa oleh rakan adik saya yang juga merupakan jiran kami di Manjung. Orangnya 'simple' dan berkarisma. Dia duduk bersila bersama ibu saya di lantai sambil kami berbual mengenai kempen pilihanraya. Saya juga memberi buah fikiran kepada beliau apa yang perlu dilakukan olehnya ketika itu. Nizar mengangguk kepala tanda setuju walaupun sebenarnya dia juga cukup berilmu dalam kancah dunia politik tempatan.

2. Siapa sangka belum sampai setahun menjadi Menteri Besar, Nizar ditumbangkan. Sebenarnya perancanaan untuk menumbangkan Nizar bermula sejak pengumuman pilihanraya lagi. Kalangan orang UMNO yang bersama ibu sudah mula bercerita, " BN akan perintah Perak juga...". Saya tanya bagaimana kerana tidak masuk diakal ketika itu BN boleh kembali memerintah. Mereka cuma memaklumkan ada caranya.

3. Saya ada memaklumkan kepada pengiring Nizar di Manjung mengenainya tetapi sayangnya mereka ketika itu merasa bongkak dengan kemenangan yang tanpa diduga ini. Penduduk Manjung ketika itu seperti meraikan kemenangan pasukan bola sepak menjuarai Piala Malaysia. Pengiring Nizar pula seperti kaduk naik junjung. Mereka lupa musuh mereka tidak akan berdiam diri sejak ditewaskan buat kali pertama di negeri Perak. Mereka lupa musuh ini bukan musuh yang boleh menerima hakikat kekalahan.

4. Bila saya maklumkan, dengan bongkak mereka memaklumkan, Sultan dah perkenan dan sukakan Nizar...orang UMNO memang begitu, mereka dengki. Akhirnya tidak sampai setahun maklumat yang saya cuba sampaikan menjadi kenyataan. Perancanaan itu berjalan dengan tersusun rapi seperti menarik benas di dalam tepung.

5. Bila berlaku terus saya maklumkan kepada rakan-rakan seperjuangan di Kuala Lumpur mengenai peristiwa tersebut. Saya ketika itu baru tiba di Kuala Lumpur kerana urusan perniagaan. Saya mengingatkan mereka kembali mengenai percaturan yang dibuat oleh UMNO sejak mereka tewas dulu. Tapi sayang pengiring Nizar ambil sikap tidak endah.

6. Sejak Nizar menang saya telah menyuruh beberapa kali agar dapat dipertemukan dengan Nizar walaupun untuk 15 minit secara eksklusif. Saya ingin menyampaikan banyak maklumat kerana anak-anak buah saya sudah melata bekerja di syarikat penerbitan. Maklumat terus disampaikan walaupun saya kini hanyalah mantan pengarang. Namun janji sudah berbelas kali, tiada satu yang ditunaikan. Saya kecewa kerana hajat saya bukan untuk meminta kontrak berjuta ringgit tetapi untuk menyampaikan maklumat dan cadangan bagi pimpinan kerajaan Nizar.

7. Seorang Timbalan Pegawai Daerah memberitahu saya, dia kesal dengan sikap pengiring Nizar kerana langsung tidak mengikut protokol pejabat daerah. Protokolnya kecil tetapi di pandang berat oleh pegawai kerajaan. Saya bersetuju dengannya apabila dimaklumkan kepada saya.

8. Katanya, seorang pengiring Nizar (mungkin itu jawatannya) datang ke majlis daerah untuk memaklumkan bagi menggunakan sebuah dewan di daerah ini. Dengan hanya berselipar dia memaklumkan, "Haji Nizar datang nak gunakan dewan pada tarikh...sekian2".

9. Mungkin ramai yang marah dengan penulisan saya tetapi dengan blog sahaja saya dapat menyampaikan kata-kata nasihat kepada kepimpinan parti. Kita mesti bersikap terbuka demi untuk menyelamatkan karier politik Nizar tetapi malangnya orang disekeliling Nizar membuat saya berasa sedikit kecewa. Kita tidak mahu menjadi seperti pemimpin UMNO yang tidak boleh ditegur dan akhirnya mereka keliru dan tertanya kenapa rakyat membenci mereka.

10. Saya kecewa kerana gagal untuk bertemu Nizar kerana dalam tempoh tersebut saya dapat membuat temu janji dengan Tan Sri Muhammad Taib dan Datuk Masidi (Menteri Sabah). Mengapa orang ini boleh saya bertemu dengan mudah tetapi Nizar sebagai pemimpin yang saya segani dan kagumi gagal saya temui.

11. Sedangkan apabila Nizar jatuh, saya berada di kediaman Menteri Besar untuk memberi sokongan. Saya mengorbankan masa dan wang untuk penginapan hotel beberapa rakan dari Kelantan yang turut sama ke Perak. Malah sewaktu pilihanraya Parlimen, saya turun ke Taiping dan ketika itu saya hanya melihat Nizar dari jauh sahaja kecewa dengan sikap pengiring Nizar ini.

12. Sayang jika perkara ini dapat dimaklumkan dari awal, sudah tentu kita lebih bersedia. Kita boleh menjaga wakil rakyat agar tidak terperangkap dengan tektik UMNO. Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jamlu adalah merupakan dari parti PKR. Kita mesti ingat kebanyakan ahli PKR adalah bekas ahli UMNO. Nama saja bekas ahli UMNO, wang adalah penyakit mereka sejak turun temurun. Malah bila melihat muka keduanya, saya lebih percaya bekerja dengan YB Nge dari mereka.

13. Sayang semuanya sudah terlambat. Kini apa yang perlu dilakukan oleh Nizar agar terus berlagak menjadi seperti MB. Kita mahu pemimpin kita terus berkhidmat tanpa mengira jawatan. Nizar sepatutnya membuka sebuah pejabat di Manjung untuk menyelesaikan segala pemasalahan penduduk setempat. Pejabat itu bukan pejabat PAS atau PR, tetapi ia merupakan pejabat wakil rakyat.

14. Kita mesti membuka lebaran baru politik tanah air di mana kita mesti mengamalkan sikap keterbukaan. Di pejabat ini tidak perlu ada logo mana-mana parti dan cukuplah hanya gambar wakil rakyat setempat. Namakan pejabat tersebut 'Pejabat Rakyat' agar kesemua rakyat berlainan fahaman politik mereka tidak merasa kekok ke pejabat tersebut. Edarkan pamplet mengenai kewujudan pejabat tersebut.

15. Selepas ini kita berceritakan serba sedikit mengenai kecacatan yang perlu dibaiki jika PR kembali memerintah Perak.

No comments: