Menteri Besar Pakatan Rakyat Negeri Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin yakin Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak akan dibubarkan sebelum berakhir tahun 2009 ini.
Ini kerana, katanya jika Dun Perak tidak bersidang menjangkaui tempoh enam bulan negeri Perak akan menjadi negeri 'tidak berperlembagaan' atau 'unconstitutional state'.
"Dun Perak mungkin kita (PAS) boleh jangka bila dia bubar, dia (Barisan Nasional) terpaksa bubar juga kerana tidak ada pilihan lain, dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak mesti bersidang tidak lebih enam bulan,"tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam anjuran Majlis Tindakan Dun Cukai bagi mengumpul Dana Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, di sebuah Restoran di Bukit Kuang, Chukai, pada 5 Ogos lalu.
Menurutnya sidang Dun Perak akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 November 2009 kerana persidangan lalu diadakan pada 7 Mei 2009.
Katanya sidang Dun tersebut mesti diadakan bagi membentang dan meluluskan Belanjawan 2010.
"Mesti ada persidangan, jika tidak bagaimana (negeri) nak belanja tahun depan (2010), nak beri (bayar) gaji kakitangan kerajaan negeri Perak, nak buat peruntukan untuk perbekalan.
"Ini mesti diluluskan di Dewan Undangan Negeri dalam bentuk Belanjawan 2010, ikut mana cerita pun dia (kerajaan) mesti buat persidangan,"jelasnya.
Menurutnya kemungkinan berlaku kekecohan pada persidangan Dun Perak akan datang tidak dapat dijangkakan kerana sidang Dun pada Mei 2009 lalu telah berlaku �huru hara�.
Kata Nizar, sidang Dun yang lalu dianggap tidak sah kerana tindakan Umno-BN merampas kuasa Speaker (Yang DiPertua) Dun Perak secara paksa.
"Bila dia (Umno-BN) buat persidangan (nanti), saya beritahu Tuanku (Sultan), kami juga (Pakatan Rakyat) akan cuba buat bagaimana Umno (buat) arah polis angkat Speaker. Kita pun nak cuba belajar angkat Speaker.
"Adakah Tuanku nak tengok, nak biar dunia tengok, bahawa berlaku lagi kemelut dan huru hara dalam Dewan Undangan Negeri Perak,"ujarnya.
Menurutnya, kemelut tersebut merupakan rantaian dari tindakan 'rampasan kuasa' yang telah dilakukan oleh Umno-BN pada Februari 2009 lalu.
Katanya, seluruh rakyat negeri Perak bersama-sama Pakatan Rakyat yang mahukan Dun Perak dibubarkan segera.
Meski pun, katanya hanya diberi kuasa selama 12 jam pada 11 Mei 2009 lalu oleh mahkamah masih sempat menulis surat kepada Tuanku Sultan Perak memohon agar Dun Perak dibubarkan.
"Umno terpaksa rampas (dan) teruskan proses merampas. Setelah dia rampas kuasa dia rampas Speaker, lepas dia rampas Speaker dia rampas keputusan Mahkamah Tinggi.
"Keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2009 telah memberikan 'keabsahan' kepada saya dan Pakatan Rakyat sebagai Menteri Besar yang sah dan kerajaan yang sah.
"Sebaik sahaja dia (hakim) memutuskan keputusan itu, saya dan rakan-rakan terus ke Masjid Kampung Pandan dan melakukakan solat sunat.
"Selepas itu, saya 'berlari' (bergegas) dalam kereta minta buatkan surat. (apabila) Saya sampai di Ipoh surat dah sedia, (saya) ambil surat dan bawa pergi ke Istana," ujarnya menceritakan rentetan peristiwa di Perak.
Malangnya, kata beliau apabila sampai ke Istana pada jam 10.30 malam tidak dibenarkan masuk bagi menghadap Sultan Perak.
Menurutnya, dalam surat tersebut memohon perkenan Sultan agar membubarkan Dun Perak.
"Dalam surat itu, saya nyatakan ke bawah Duli Yang Mulia Sultan Perak. Oleh kerana, Mahkamah Tinggi mengabsahkan patik sebagai Menteri Besar, maka patik nak serahkan kuasa itu kembali kepada rakyat. Apa sudi kiranya, Tuanku memperkenankan dibubarkan Dewan Undangan Negeri Perak,"jelasnya.
Pada majlis tersebut sejumlah RM22,000 berjaya dikumpulkan oleh MTD Chukai bagi mengisi Dana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang
No comments:
Post a Comment