PPSMI: DESAK MANSUH SEGERA @ P.PASIR!!!!!


Pak Samad di P. Pasir desak mansuh segera PPSMI
oleh : Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) tidak dapat meredakan perasaan tidak puas hati kumpulan seniman dan budayawan yang bergabung dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Jumaat ini, empat hari sebelum pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir berlangsung, penasihat GMP Sasterawan Negara A Samad Said dijadual turun berkempen atas pentas PAS bagi meminta dasar itu dimansuhkan segera.

Awal bulan lepas, kerajaan mengumumkan PPSMI dimansuhkan mulai 2012.

"Saya diberi pentas, bercakap soal PPSMI, tentang perkembangannya. (Tindakan) itu biasa sahaja, oleh kerana (ada) pilihan raya kecil," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Itu adalah tafsiran (orang ramai). Saya cuma guna pentas (PAS)," tambahnya, apabila diminta pembabitannya bersama parti itu pada pilihan raya DUN itu.

"Andaian orang macam-macam, susah hendak dikikis. Ini bukan baru, dulu pun orang bercakap juga."

Calon PAS Mohd Salleh Man akan bertembung dengan calon BN Rohaizat Othman dalam pilihan raya, 25 Ogos ini.

Setiausaha gabungan NGO itu Hasni Abas pula memberitahu Malaysiakini hari ini, A Samad, atau panggilan mesranya Pak Samad, akan berceramah dan mengedarkan risalah anti-PPSMI.

"GMP akan berada di Permatang Pasir pada 21 Ogos malam.

"Pak Samad dan exco GMP akan ke sana," jelas Hasni, juga pengerusi kesatuan sekerja kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hasni menjelaskan, dalam mesyuarat GMP Sabtu lalu bagi membincangkan tindakan susulan badan itu susulan pengumuman pemansuhan PPSMI, badan itu tidak akan mengambil langkah berdemonstrasi sekali lagi – dalam masa terdekat.

"Pak Samad ada usulkan perkara itu. Tetapi kita putuskan tidak perlu buat masa ini, kita tidak mahu (bersikap) provokatif. Kita jumpa dulu," katanya.

Sebaliknya, tambah Hasni, GMP akan menghantar memorandum kepada Kementerian Pelajaran mempersoalkan kelambatan pemansuhan itu, tidak seperti proses pelaksanaannya pada 2003 yang hanya mengambil masa enam bulan.

GMP juga ingin bertemu dengan menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membangkitkan isu tersebut.

No comments:

My POST