Pelayaran Pulang KD Tunku Abdul Rahman
KD Tunku Abdul Rahman singgah di Cochin
COCHIN: Kapal selam pertama negara yang dalam pelayaran sulungnya ke pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Sepanggar Sabah, singgah di pelabuhan pangkalan tentera India semalam.
Kapal selam jenis Scorpene yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman itu memulakan pelayaran 9 Julai lalu dan singgah di Jeddah serta Djibouit sebelum memasuki perairan Cochin di Kerala.
Pada 2002 kerajaan Malaysia membeli dua kapal selam yang dibina bersama oleh syarikat Perancis DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam Sepanyol, Navantia, di Cherbourg, Perancis.
Pada Januari lalu, kapal selam itu diserah secara rasmi kepada TLDM di pangkalan tentera laut di Toulon, Perancis.
"KD Tuanku Abdul Rahman singgah di pangkalan kami semalam kerana mereka melalui perairan ini. Tiada operasi kerjasama dirancang. Kapal peninjau tentera laut India menyambut kapal selam itu.
"Untuk program itu hanya perlawanan bolasepak di atur dengan kadet tentera laut India. Pegawai tentera laut India akan menyambut ketibaan krew kapal," kata pegawai tinggi dari Pemerintah Selatan Tentera Laut India kepada Bernama.
Selepas tiga hari di Cochin, kapal selam berkuasa diesel dan elektrik dengan kelajuan 20 knot itu akan meneruskan pelayaran ke pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah di Pulau Indah, Klang dan ke pangkalan TLDM Lumut sebelum berlabuh di destinasi terakhir di Sepanggar pada September.
Ia dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain dari TLDM bersama 35 krew.
Kapal ini yang dinamakan sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, adalah kapal selam jenis tempur konvensional dan mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter. - Bernama
sebelum itu...
Kapal selam pertama tiba 17 September
TELUK SEPANGGAR: Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, dijadualkan tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Markas Wilayah Laut II di sini, pada 17 September ini.
Ia disusuli sebuah lagi kapal selam, KD Tun Abdul Razak, yang dijangka tiba di pangkalan sama pada Mac atau April tahun depan.
Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali, berkata pangkalan kapal selam itu siap sepenuhnya dan sudah diserahkan Kementerian Kerjaraya kepada Kementerian Pertahanan baru-baru ini bagi membolehkan operasi kapal berkenaan.
"KD Tunku Abdul Rahman akan ditempatkan di kawasan strategik yang dirahsiakan dan berfungsi mengawal keselamatan perairan di seluruh negara," katanya pada sidang media di Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar di sini, semalam.
Terdahulu, Mohammed Noordin menyaksikan majlis penyerahan tugas Panglima Wilayah Laut II TLDM daripada Laksamana Pertama Datuk Pahlawan Syed Zahiruddin Putra Syed Osman kepada penggantinya, Laksamana Pertama Anuwi Hassan.
Syed Zahiruddin Putra akan mengikuti kursus di Jakarta selama 15 bulan.
KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak yang dijana menggunakan tenaga diesel-elektrik, dikendalikan sepenuhnya pegawai dan anggota TLDM di perairan Perancis.
Malaysia adalah negara ketiga memiliki kapal selam di rantau Asia Tenggara, selepas Indonesia dan Singapura.
Dalam pada itu, Mohammed Noordin berkata, kapal selam berkenaan mampu memelihara kedaulatan perairan negara daripada sebarang ancaman musuh.
CyberCoxswain: Kepada mereka yang tertunggu-tunggu berita baik ini... tak lama dah nak sampai... sabar sikit je lagi.
Dicatat oleh Cyber Coxswain
Sumber : Navy/TLDM/PSSTLDM
#ALTANTUYA DALAM KENANGAN
No comments:
Post a Comment