LUMUT, SYDNEY OF MALAYSIA

Lumut Kini Bandar Tentera Laut
By: Ramjit-->
LUMUT, 24 April (Bernama) -- Lumut, bandar pelabuhan yang menempatkan pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) terbesar di negara ini hari ini mencipta sejarah sebagai bandar pertama di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang mendapat pengiktirafan sebagai Bandar Tentera Laut.Pengisytiharan tersebut disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada majlis penuh gemilang dan warna-warni.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Kapten Kehormat TLDM dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah adalah antara tetamu diraja yang berangkat pada majlis yang turut disertai hampir 3,000 warga TLDM dan pelbagai lapisan rakyat.

Terdahulu, Panglima TLDM Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar dalam ucapan aluannya melahirkan keyakinannya pengisytiharan pada hari ini akan memartabatkan bandar Lumut di peta dunia sebagaimana bandar-bandar tentera laut lain di seluruh dunia."Pengisytiharan bandar Lumut sebagai bandar tentera laut bukan hanya merupakan satu upacara istiadat...sebaliknya berpandukan kepada konsep yang ditetapkan, aktiviti ini juga akan menghasilkan nilai tambah bukan sahaja kepada bandar Lumut...bahkan Negeri Perak."

Gelaran nama bandar tentera laut akan memberi kesan 'synergistic' memandangkan Lumut telahpun dikenali sebagai bandar maritim dan pelancongan," katanya.Lumut, suatu ketika dulu hanya lokasi memancing bagi penduduk tempatan kini tegak sebarisan dengan bandar tentera laut lain seperti Karlkrona di Sweden, Simon's Town (Afrika Selatan), Portsmouth (United Kingdom), Sydney (Australia), Kiel (Jerman) serta Norfolk dan New Port di Amerika Syarikat.-- BERNAMA

Coretan OM : TLDM secara tidak langsung menaiktarafkan ekonomi dan kependudukan daerah Manjung. Ramai bumiputra dan non bumi yang menjana rezeki sebagai pembekal dan kontraktor di setiap 'department' TLDM Lumut. TERIMA KASIH kepada Kementerian Pertahanan, Panglima TLDM, seluruh warga TLDM dan pesara-pesara TLDM dalam memberi peluang dan bersama warga Manjung membangunkan serta menaiktaraf daerah Manjung.

'May Allah Bless Manjung'
.

No comments: