SAVE THE TELUK RUBIAH! (6)

SAM bantah projek kilang proses bijih besi

PULAU PINANG 16 Jun – Kerajaan negeri Perak dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) digesa mempertimbangkan semula tindakan mereka memberi kelulusan kepada syarikat Vale S.A. untuk pembinaan kilang memproses bijih besi melibatkan pelaburan RM9 bilion di Teluk Rubiah, Manjung.

Penyelidik lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, tindakan berkenaan amat perlu kerana lokasi dipilih syarikat itu tidak sesuai kerana melibatkan kawasan hutan sekunder dan primer yang masih tidak terganggu selain jaraknya yang terlalu dekat iaitu hanya 500 meter dari Pantai Teluk Batik.

Selain itu jelasnya, Teluk Rubiah juga merupakan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap II iaitu hanya boleh dibangunkan untuk tujuan pelancongan dan bukannya dijadikan kawasan industri berat seperti yang bakal dilakukan kilang tersebut penghujung tahun ini.

Katanya, sekiranya cadangan membina kilang itu diteruskan juga pasti ia akan menimbulkan kesan negatif terhadap alam sekitar dan sosioekonomi penduduk kawasan sekitar yang kebanyakannya golongan nelayan.

”Pelbagai pihak telah membuat bantahan sebaik sahaja berita mengenai projek pembinaan kilang memproses bijih besi itu diketahui umum. Bantahan bukan hanya dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti SAM tetapi juga oleh golongan nelayan, pengusaha resort, Pelabuhan Lumut dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Manjung.

”Namun, SAM amat kecewa kerana bantahan, penjelasan dan perjumpaan yang dibuat pihak-pihak terlibat seolah-olah tidak diambil kira dan diketepikan apabila kerajaan negeri terus menjalinkan kerjasama untuk melaksanakan projek itu.

”Janganlah hanya kerana mengejar keuntungan yang sedikit, kawasan semulajadi yang mampu menarik aktiviti pelancongan di kawasan seluas 600 hektar terpaksa dikorbankan. Carilah kawasan lain yang lebih strategik,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di sini semalam.

Turut hadir Presiden SAM, S.M Mohamed Idris. Akhbar melaporkan pembinaan kilang bijih besi tersebut dijangka dimulakan dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, projek berkenaan kini hanya menunggu kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kedua.

Katanya, Laporan EIA yang pertama sudah diterima dan diluluskan tetapi pihaknya telah meminta syarikat terbabit mengemukakan satu lagi laporan EIA kerana ia projek yang besar.

Kata Meor Razak, pihaknya juga amat kecewa apabila kerajaan negeri mewartakan perubahan zon dan guna tanah di kawasan Teluk Rubiah daripada zon kawasan pelancongan dan semulajadi kepada zon perindustrian berskala besar tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada masyarakat tempatan.

”Pengubahan yang dilakukan amat bertentangan dengan Strategi Pembangunan Daerah Manjung, juga bercanggah dan tidak selaras dengan Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Perhutanan Negara dan Rancangan Fizikal Negara (RFN). Seharusnya Rancangan Tempatan Daerah (RTD) perlu diselaraskan dan diperincikan bersesuaian dengan RFN.

”Cadangan projek tersebut hanya akan meninggalkan kesan kepada alam sekitar terutama kemusnahan dan kekurangan hidupan akuatik dan sumber marin pesisiran pantai termasuk kawasan batu karang di Pulau Katak yang berhadapan kawasan cadangan projek.

”Begitu juga kawasan hutan semulajadi yang dijadikan kawasan latihan oleh institusi-institusi latihan dan pendidikan negara seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Sekolah Latihan Membina Semangat Malaysia (OBS Malaysia),” katanya.

sumber : - http://www.malaysiazoom.com/sam-bantah-projek-kilang-proses-bijih-besi/

No comments:

My POST